Majlis Perbandaran Pulau Pinang







Sejarah Pulau Pinang bermula dalam tahun 1786, apabila Captain Francis Light membuat perjanjian dengan Sultan Kedah. Dia memperolehi Pulau Pinang bagi pihak Syarikat Hindia Timur dari Sultan dan sebagai balasan, syarikat berjanji untuk memberi perlindungan keselamatan kepada Kedah daripada jiran-jirannya yang kuat.

Sehingga 1800, Light juga berjaya mendapatkan kawasan tanah di seberang pulau. Kawasan itu bernama Province Wellesley (mengikut nama Gabenor India) yang sekarang ini dipanggil Seberang Perai.

Light menamakan pulau itu Pulau Putera Wales kerana tarikh ia diperolehi berbetulan dengan tarikh lahir Putera itu. Beliau telah mendarat di tempat yang sekarang bernama Esplanade. Ketika itu ia adalah sebuah kawasan paya yang banyak nyamuk. 
Untuk membersihkan tempat itu beliau telah mengisi meriam kapalnya dengan wang perak dan ditembakkan ke arah hutan paya itu untuk meransang kerja-kerja pembersihan semak-samun oleh pekerjanya dengan lebih cepat.

Sebuah pekan telah dibuka dan diberi nama George Town, sempena nama Putera Wales. Sempadan kawasan itu ialah jalan-jalan Light Street, Chulia Street, Pitt Street (Jalan Masjid Kapitan Keling) dan Bishop Street.

Untuk menggalakkan peneroka, pelabuhannya telah diberi status bebas-cukai dan pendatang baru dibenarkan menuntut sebesar mana tanah yang mereka boleh terangkan. Dari sebuah pulau yang tidak berpenghuni, bilangan penduduknya meningkat kepada 10,000 orang pada akhir abad.

Pulau Pinang menjadi tempat perdagangan untuk teh, rempah-ratus (bunga cengkih dan buah pala darip ladang tempatan), china, lada hitam dari Acheh dan tekstil dari India. Kemudiannya, perdagangan serantau berkembang dengan bijih timah dan getah.

Ia menjadi persimpangan tamadun yang besar, tempat pertembungan kawasan timur. Pedagang dan peneroka datang dari Eropah, India, China, Kepulauan Melayu, Thailand dan Burma.

Pelabuhan British yang bebas dan berkecuali itu lebih diminati berbanding dengan hentian perdagangan Belanda yang mempunyai peraturan yang ketat dan juga cukai.

Orang-orang Eropah menetap di Light Street, orang Serani dari Kedah dan Phuket tinggal di Bishop Street dan Church Street (Lebuh Gereja). Pedagang China Selat dari Kedah dan Melaka yang datang ke sini mencari peluang baru telah bertumpu di China Street manakala pedangan India menetap di Chulia Street.

Pada awal 1800an, George Town telah berkembang dengan tambahan dua jalan lagi – Armenian Street yang diduduki oleh orang Armenia dan Acheen Street, tempat tinggal orang-orang Acheh, Sumatra dan Melayu.

Pada tahun 1832, Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada Negeri-negeri Selat dengan Melaka dan Singapura.

Selain menjadi kepentingan perdagangan dan tempat pelbagai peluang, Pulau Pinang adalah juga tempat yang bebas dan selamat kepada pelbagai penduduknya – orang Melayu lepas dari serangan Siam di Kedah, orang Serani lari dari penindasan agama di Selatan Thailand, orang China Manchu yang teraniaya dan orang India Selatan meninggalkan tanah air yang miskin dan bersengketa.

Pulau Pinang berada di bawah pemerintahan Kolonial British sehingga 1957 apabila ia mendapat kemerdekaan di bawah Persekutuan Tanah Melayu. Ia di duduki sekejap oleh Jepun dari 1941 hingga 1945. Dalam tahun 1963 ia menjadi sebahagian dari Malaysia apabila Sabah dan Sarawak memasuki kumpulan itu.


Sumber: BIRO PENERANGAN NEGERI PULAU PINANG.


No comments:

Post a Comment